Rakyat Malaysia amat bertuah kerana mempunyai sumber makanan yang banyak dan pelbagai. Kepelbagaian makanan yang mudah diperoleh telah menjadi sebahagian daripada cara hidup, budaya dan kebiasaan rakyat Malaysia. Ini dibuktikan apabila nasi lemak, roti canai dan hor fun / min nan iaitu mi yang diperbuat daripada bahan tepung beras ataupun bijirin, menjadi antara makanan yang paling terkenal dan digemari oleh majoriti rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, pengambilan makanan ini secara berterusan setiap hari akan memberikan kesan yang tidak baik, kepada kesihatan individu. Jumlah pengambilan kalori yang terkandung di dalam makanan individu setiap hari akan semakin meningkat dan menyumbang kepada cara pemakanan yang tidak sihat. Budaya pemakanan yang tidak sihat ini jika tidak ditangani dengan baik akhirnya akan menyebabkan masalah yang lebih berat seperti mana yang dialami oleh Malaysia pada masa ini.