Karbohidrat dan lemak dalam makanan membekalkan tenaga kepada manusia. Zat makanan ini boleh didapati daripada makanan seperti ubi kentang, nasi, dan seumpamanya. Protein boleh didapati daripada telur, ikan, susu dan daging. Zat makanan ini penting untuk pembesaran. Mineral pula mudah diperoleh daripada makanan laut dan vitamin banyak terdapat dalam sayur-sayuran dan buah-buahan. Mineral penting kepada kesihatan kerana zat ini berperanan untuk menjaga kesihatan darah dan membantu tubuh menyerap zat makanan lain dengan lebih berkesan. Vitamin pula berperanan untuk menjaga kesihatan mata, kulit dan gusi serta mengekalkan kecergasan badan.